Wednesday, March 28, 2012

Slide OUMH1103 dalam Bahasa Malaysia



Berikut adalah slides OUMH1103 dalam Bahasa Malaysia yang diterjemahkan oleh Dr. Richard Ng, Pengarah OUM Perak, yang merupakan tutor subjek ini sejak tahun 2005 lagi. Pelajar OUM adalah dialu-alukan untuk memuat-turun slaid ini bagi kegunaan sendiri sahaja. Sila ambil perhatian bahawa slaid ini adalah hakcipta OUM Perak dan tidak boleh diagihkan untuk tujuan komersial tanpa mendapat kebenaran bertulis dari pembuatnya.



















LAPORAN BENGKEL KECEMERLANGAN PEPERIKSAAN PELAJAR BARU JAN 2012

Disediakan oleh Siti Norjalilah

Tarikh : 17 Mac 2012 (Sabtu)
Masa : 8.30pagi – 1.30petang
Tempat : PP Greenhill, Persiaran Greenhill, Ipoh.
Fasilitator : Pengarah OUM Perak, Dr. Richard Ng & Pn.Umaimah Mohd Idris



Seperti mana semester-semester yang lepas, Bengkel Kecemerlangan Peperiksaan bagi membantu pelajar baru OUM berjinak dengan format peperiksaan untuk Semester Januari 2012 telah diadakan pada 17 Mac 2012.



Bengkel ini anjuran OUM Perak telah mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 68 orang pelajar OUM telah berdaftar dan hadir mengikuti bengkel ini. Kebanyakan pelajar terdiri daripada pelajar semester pertama ambilan Januari 2012. Ianya dijalankan secara intensif (separuh hari)



Bengkel ini telah diadakan dalam dua sesi iaitu sesi pagi (8.30pg hingga 11.30pg) untuk subjek OUMH1103 dan sesi petang (11.30pg hingga 1.30ptg). Seramai 68 orang pelajar baru OUM Perak yang jauh dan dekat telah hadir bagi mengikuti bengkel ini.

Bengkel OUMH 1103 iaitu subjek Learning Skills for Open and Distance Learners telah dikendalikan oleh Dr Richard Ng, Pengarah OUM Perak. Beliau telah mengajar subjek ini sejak tahun 2004 lagi dan terlibat dengan pembangunan bank soalan serta merupakan salah seorang pemeriksa kertas untuk subjek ini.

Dalam bengkel ini, pelajar telah didedahkan dengan topik-topik serta perkara yang perlu diberi fokus semasa peperiksaan yang bakal diadakan pada 14 April 2012 jam 3.30ptg (OUMH1303) dan 22 April 2012 jam 3.30ptg (OUMH1103). Sesi ini juga bertindak sebagai sesi ulangkaji bagi membantu pelajar mengingati apa yang telah dipelajari semasa sesi tutorial.

Pelajar telah didedahkan dengan soalan-soalan peperiksaan semester lepas dan contoh jawapan juga telah disediakan bagi memudahkan pelajar memahami teknik menjawab soalan semasa peperiksaan nanti.



Bagi sesi kedua pula, Pn. Umaimah Mohd Idris, iaitu salah seorang senior tutor yang cukup berpengalaman dalam subjek OUMH 1303 iaitu English for Oral Communication, telah dipertanggungjawabkan untuk membimbing pelajar. Beliau telah berkhidmat dengan OUM sejak tahun 2005 lagi.





Bengkel ini telah banyak membantu pelajar OUM terutama pelajar baru bagi menghadapi peperiksaan dengan penuh yakin. Pihak OUM Perak amat prihatin dengan keperluan pelajar dan sentiasa berikhtiar untuk mengelolakan bengkel seperti ini pada setiap semester. Hasil kaji selidik menunjukkan bahawa pelajar yany mengiukti bengkel mempunyai peratusan kelulusan yang tinggi berbanding dengan pelajar yang tidak hadir.

Tuesday, March 27, 2012

LAPORAN BENGKEL PENYEDIAAN TUGASAN OUM PERAK

Disediakan oleh Rosnizawati





Pada 15 & 16 Mac 2012 yang lalu, PP Perak telah mengadakan Bengkel Penyediaan Tugasan. Bengkel tersebut diadakan untuk pelajar SMP-PPG semester pertama ambilan khas Jan 2012 dan telah mendapat sambutan hangat daripada pelajar-pelajar tersebut. Oleh itu, bengkel yang sepatutnya dijalankan sehari sahaja terpaksa dijalankan 2 hari. Seramai 90 orang pelajar telah menghadiri bengkel pada 15 Mac 2012 manakala pada 16 Mac 2012, seramai 93 orang pelajar telah hadir.





Seperti bengkel-bengkel sebelum ini, bengkel ini telah dikendalikan oleh Pengarah PP Perak iaitu Dr Richard Ng. Bengkel ini telah diadakan secara intensif dari pukul 8.30 pagi hingga 1.00 petang bertempat di PP Perak.

Bengkel tersebut diadakan bagi membimbing pelajar-pelajar akan kaedah penyediaan tugasan yang betul, tepat, padat dan mutakhir. Para peserta telah didedahkan kepada ciri-ciri tugasan yang baik serta cara untuk menyediakan tugasan. Mereka juga telah didedahkan dengan langkah-langkah penyediaan tugasan yang betul. Para peserta juga telah ditunjukajar bagaimana untuk mencari bahan tugasan dari perpustakaan digital yang disediakan OUM serta menilai bahan tugasan dari segi kualiti dan kesesuaiannya.





Bengkel ini mengandungi 5 modul iaitu:

Modul 1 - Ciri-ciri tugasan yang baik
Modul 2 - Langkah-langkah penyediaan tugasan yang baik
Modul 3 - Cara mencari bahan tugasan
Modul 4 - Memahami Sistem rujukan APA dan plagiarisma
Modul 5 - Kaedah penyediaan tugasan





Pada akhir bengkel, para peserta telah ditunjukkan 2 sampel iaitu Sampel A (Tugasan yang baik) dan Sampel B (Tugasan yang kurang baik) supaya dapat di contohi dan dipelajari semasa penyediaan tugasan mereka. Selain itu, dalam bengkel tersebut juga, soalan tugasan bagi ketiga-tiga subjek yang diambil oleh pelajar-pelajat tersebut iaitu HBEF2103, HBEF3103 dan OUMH1103 turut dibincangkan bersama.

Friday, March 23, 2012

KPT Perluas Promosi APEL Mulai Bulan Depan - The Star

PUTRAJAYA:

Kementerian Pengajian Tinggi akan melancarkan dan mempromosi perkhidmatan Pengakreditan Pembelajaran Sepanjang Hayat (APEL) dengan lebih meluas mulai bulan depan, dalam usaha memperkasa konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata APEL yang dibangunkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), menyediakan perkhidmatan penilaian dan pengesahan pembelajaran tidak formal yang dimiliki oleh individu berdasarkan kepada pengalaman kerja yang diceburi.

Beliau berkata perkhidmatan penilaian yang sudah mula beroperasi sejak September lepas itu dijayakan dengan kerjasama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Universiti Wawasan Malaysia.

Katanya, pengesahan yang dikeluarkan APEL akan membolehkan individu terbabit mengenal pasti peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di samping mengenal pasti bidang yang sesuai untuk mereka ikuti, dan ketika ini ia tertumpu kepada kemasukan ke program pengajian peringkat ijazah Sarjana Muda.

Bercakap pada sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan Kementerian di sini pada Selasa Mohamed Khaled berkata menerusi pusat itu, pemohon yang berminat hanya perlu tampil untuk mengambil satu ujian khas dan membuat portfolio yang akan disahkan oleh APEL, bagi melihat kepada dua kelonggaran utama yang mungkin dapat ditawarkan, iaitu dari segi kemasukan dan pemindahan kredit.

Beliau berkata dari segi kemasukan, ia bermakna pusat berkenaan akan menilai sama ada pemohon boleh diterima masuk ke universiti, walaupun pemohon tidak mencapai kelayakan akademik minimum yang diperlukan, manakala dari segi pemindahan kredit, ia akan menilai dari segi tempoh pengajian yang mungkin boleh disingkatkan.

Kemasukan dalam program-program yang dikategori sebagai pembelajaran sepanjang hayat, dilihat meningkat daripada 220,000 orang pada tahun 2010 kepada 269,375 pada tahun lepas, yang membayangkan bahawa budaya pembelajaran itu mulai bertapak di kalangan rakyat, katanya.

Beliau berkata aspek Membudayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat merupakan satu daripada lima Teras Strategik yang menjadi fokus dalam fasa kedua pelaksanaan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang disasarkan dalam tempoh antara 2011 dan 2015.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata lima teras itu terdiri daripada Meluaskan Akses dan meningkatkan Ekuiti, Menambah baik Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran, Meneguhkan Penyelidikan dan Inovasi, Mempergiatkan Pengantarabangsaan dan Membudayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Mohamed Khaled berkata pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi akan membawa banyak manfaat khususnya dalam membina keyakinan penuntut asing untuk menyambung pengajian di instiusi pengajian tinggi dalam negara.

"Tahun 2011 mencatatkan jumlah 90,850 pelajar antarabangsa menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi Awam dan Swasta dalam negara, berbanding 86,919 pada tahun 2010," katanya dan menambah, kedatangan penuntut antarabangsa menghasilkan anggaran pendapatan negara melebihi RM2.7 bilion setahun. - BERNAMA