Showing posts with label Community Service. Show all posts
Showing posts with label Community Service. Show all posts

Saturday, December 31, 2011

Pendakian Bukit Bangkong, Tanah Hitam, Perak - 31 Dis 2011

Gambarfoto para peserta sebelum pendakian bermula

OUM Perak mencatatkan sejarah apabila berjaya mengendalikan program Pendakian Bukit Bangkong, Tanah Hitam, Perak pada 31 Disember 2011.

Sesi temuramah bersama YB Dato' Ganesan sebelum pendakian bermula. Dari Kiri: En. Selvaraju, Dr. Richard Ng, Dato' Ganesan, Sdra Jayaganesh dan Sdra Nanda

Program dijalankan dengan kerjasama Pemuda MIC Tambun dibawah pimpinan Sdra Jayaganesh Selvaraju yang juga salah seorang pelajar OUM tahun 1. Lebih dari 80 orang telah menyertai pendakian bukit ini setinggi 500m.

Ucapan perlancaran program Pendakian Bukit Bangkong oleh YB Dato' Ganesan

Video Ucapan Perasmian Pendakian Bukit Bangkong oleh YB Dato' Ganesan:


Penyampaian Cenderahati kepada Dato' Ganesan

Program ini telah bermula pada jam 7.30 pagi dan dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, YB Dato' R. Ganesan. Dalam ucapannya, YB Dato' Ganesan mengucapkan syabas pada semua peserta kerana menyertai satu program kecerdasan badan. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Open University Malaysia dan Pemuda MIC Tambun kerana telah berjaya menjalankan program ini.

Pengarah OUM Perak, Dr. Richard Ng, sedang menyampaikan ucapan aluan

Video Ucapan Pengarah OUM Perak:



Video Ucapan YB Dato' R. Ganesan:



Terdahulu dari itu, Pengarah OUM Perak, Dr. Richard Ng, telah memberi ucapan aluan kepada semua peserta dan menekankan pentingnya kita menjaga kesihatan badan. Beliau mengambil kesempatan memperkenalkan OUM kepada para peserta yang kebanyakannya datang dari kawasan berhampiran. Antara YB yang telah berjaya belajar di OUM termasuk YB Dato' Saarani, YB Dato' Hasbullah, YB Dato' Samsuddin Hassan dan mantan YB Salleh Mat Disa.

Persediaan sebelum pendakian

Pendakian bermula

Video Gambarfoto Sebelum Pendakian:



Sebahagian peserta program pendakian bukit

Video Permulaan Pendakian Bukit Bangkong:




Perjalanan turun bukit

Pendakian bermula pada jam 7.45 pagi dan mengambil masa 30 minit untuk sampai ke kemuncak bukit. Cuaca pagi ini agak baik walaupun hujan renyai sekejap.

Sebahagian dari rintangan yang terpaksa diharungi peserta

Sebahagian dari para peserta yang berjaya sampai ke puncak bukit

Di puncak bukit, para peserta telah diberikan sesi senaman oleh Encik Selvaraju yang juga salah seorang veteran yang sentiasa mendaki bukit ini.

Gambarfoto kenangan para peserta yang telah berjaya mendaki Bukit Bangkong

Video Ucapan Penutup Pengarah OUM Perak:



Pada jam 9.00 pagi semua peserta telahpun sampa ke kaki bukit di mana 3 cabutan bertuah telah dijalankan. Para peserta mengambil gambar kenangan selepas itu dan program ini tamat pada jam 9.15 pagi.

Hadiah cabutan bertua pertama dimenangi Sdra Bala

Thursday, December 29, 2011

Aktiviti Riadah dan kecergasan Minda anjuran OUM Perak



Peperiksaan Akhir OUM bagi semester Sept 2011 akan tamat esok 30 Disember 2011. Maka selepasa ini pelajar akan berihat selama 3 atau 4 minggu sebelum semester Jan 2012 bermula.

Bagi mengisi masa lapang sementara menunggu tutorial pertama, OUM Perak telah menganjurkan 3 aktiviti riadah dan kecergasan minda seperti berikut:

1. Pendakian Bukit Bangkong, Tanah Hitam, Chemor, Perak 31 Dis 2011 mulai jam 7pg.









Semua pelajar serta sahabat handai dan keluarga dijemput untuk turut serta mendaki bukit ini setinggi 300m dari paras laut dan mengambil masa 30 hingga 45 minit untuk sampai ke kemuncaknya. Udara bersih pemandangannya juga indah. Peserta akan mendapat T' Shirt OUM secara percuma. Semua peserta mesti berkumpul di kaki bukit seawal 6.30pg.

Pendakian bukit ini dijalankan dengan kerjasama Pemuda MIC Tambun di bawah pimpinan Sdra Jayaganesh yang juga pelajar OUM Perak. Ia akan dirasmikan oleh YB Dato Ganesan, speaker DUN Perak.

2. Senamrobik di Polo Ground, Jln Tambun, Ipoh, Perak 7 Jan 2012 mulai jam 7pg



Aktiviti senamrobik akan dikelolakan oleh Persatuan Kecerdasan dan Kesihatan Perak di bawah pimpinan Puan Jamunarani yang juga ahli Alumni OUM Perak. Peserta akan diberi T' Shirt OUM percuma.

3. Senamrobik di Taiping Lake Garden, Taiping, Perak 15 Jan 2012 mulai jam 7pg



Aktiviti senamrobik ini juga akan dikelolakan oleh Persatuan Kecerdasan dan Kesihatan Perak di bawah pimpinan Puan Jamunarani yang juga ahli Alumni OUM Perak. Peserta akan diberi T' Shirt OUM percuma.

Aktiviti dianjurkan OUM Perak dengan kerjasama Pemuda MIC Taiping dan Persatuan Kebajikan Sosial dan Sukan Taiping di bawah pimpinan Sdra M. Veeran yang juga Ketua Pemuda MIC Perak dan pelajar OUM Perak.

Wednesday, December 28, 2011

Memenuhi Hajat Terakhir Arwah Cikgu Rusnaini Bt Hashim

Gambar kenangan bersama suami, ibu dan 4 orang anak arwah Rusnaini Hashim

Awal pagi Sabtu 24 Disember 2011, Prof. Dr. Mansor, Naib Presiden Kanan OUM bersama Dr. Richard Ng, Pengarah OUM Perak, Prof. Madya Ramli Buyong Kahar, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Bahasa dan Bahasa, Dr. Tina Lim, Penolong Pengarah OUM Perak serta dua orang staf OUM Perak Puan Murni dan Sdra Sharizal telah bersiap sedia bertolak ke rumah Allahyarham Cikgu Rusnaini Bt Hashim bagi memenuhi hajat terakhirnya.

Di kediaman Allahyarham Rusnaini

Perjalanan kami yang bermula jam 8.45pg dari Ipoh disambut hujan renyai seolah-olah diselubungi suasana sayu dan pilu. Dalam minda kami terbayangkan betapa gembiranya arwah kiranya dapat menerima segulung ijazah hasil keringatnya selama 4 tahun belajar di Open University Malaysia. Allahyarham Rusnaini Bt Hashim adalah pelajar OUM dalam program Sarjana Muda Pengajaran.

Berbual dengan keluarga Allahyarham Rusnaini Hashim

Tepat jam 9.20 pagi rombongan kami dalam 3 buah kereta sampai di rumah arwah di Taman Raia, Kpg Kepayang yang terletak lebih kurang 12km dari Ipoh. Kami disambut oleh suami arwah iaitu Encik Affendi Bin Jamaluddin. Kami dijemput masuk ke ruang tamu. Di situ sedang menunggu kami ialah Ibu arwah serta 4 orang anaknya yang memang telah menjangka kedatangan kami.

Mendengar perbualan dari Ibu Allahyarham Rusnaini Hashim

Prof. Mansor memulakan perbualan dengan menyampaikan salam takziah dari Presiden OUM, YBhg Tan Sri Anuwar Ali yang baru sahaja pulang dari India. Kedatangan beliau ialah bagi memenuhi hajat terakhir arwah iaitu mendapat segolong ijazah yang telah lama diidamkannya. Prof. Mansor menasihatkan keluarga Allahyarham Rusnaini Hashim agar tabah menghadapi segala dugaan Ilahi.

Prof. Mansor sedang menjelaskan pada En. Affendi Jamaluddin tentang sijil Ijazah yang diperolehi Allahyarham Rusnaini Hashim

Dalam perbualan kami dengan Ibu arwah, katanya, arwah Rusnaini Hashim memang teringin sangat untuk menghadiri Majlis Konvokesyen ke 11 yang sesinya telah dijadualkan pada hari Ahad 11 Disember 2011. Allahyarham Rusnaini Hashim memang seorang yang rajin belajar dan tekun dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang guru sehingga dianugerahkan Anugerah Khidmat Cemerlang pada tahun 2004.

Allahyarham Rusnaini Hashim menerima Anugerah Khidmat Cemerlang dari Dato' Zakaria, Pengarah Pendidikan perak

Arwah sedang mengandung anak kelima dan doktor telah menetapkan tarikh kelahiran 4 hari selepas konvo. Kata ibunya lagi, arwah memang kelihatan sihat pada pagi Jumaat 9 Disember 2011 dan ingin ke klinik untuk membuat pemeriksaan bagi mendapat kepastian dari doktor sama ada beliau dapat pergi ke konvokesyen. Pagi itu arwah memang sedang menonton televisyen bersama keluarganya. Tidak ada sebarang tanda-tanda arwah tidak sihat.

Ijazah Sarjana Muda Pengajaran kebanggan Allahyarham Rusnaini Hashim

Selepas suaminya selesai sembahyang Jumaat, suaminya menghantar arwah ke klinik. Pemeriksaan dokto menunjukkan arwah memang sihat dan mengesahkan arwah dapat menghadiri konvo. Tapi apakan daya, kuasa Ilahi, hajat arwah tidak kesampaian apabila arwah tiba-tiba tidak sedarkan diri di klinik dan terpaksa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh. Arwah disahkan meninggal dunia pada jam 2.30ptg bersama kandungannya.

Prof. Mansor sedang menyampaikan cek sumbangan dari OUM kepada En. Affendi Jamaluddin

Sebagai memenuhi hajat terakhir arwah Prof. Mansor mewakili OUM menyerahkan sijil Ijazah Sarjana Muda Pengajaran kepada suami arwah untuk dijadikan kenangan serta sebagai pendorong kepada 4 orang anaknya yang masih kecil. Prof. Mansor turut menyampaikan cek sumbangan dari OUM bagi meringankan beban keluarga arwah.

Selepas menjamu makanan dan minimum yang disediakan keluarga arwah, pihak kami bertolak balik ke Ipoh dan Prof Mansor bertolak ke KL pada jam 10pg.

Sebagai Pengarah OUM Perak saya amat bangga dengan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh pihak Pengurusan Tertinggi OUM pada pelajar kami. Semoga roh Allahyarham Rusnaini Hashim dicucuri rahmat.

Tuesday, April 5, 2011

Perlancaran Tabung Mangsa Bencana Tsunami dan Gempabumi Jepun @ OUM Perak


Pada Sabtu lepas 2 April 2011, tabung mangsa bencana tsunami dan gempabumi Jepun telah dilancarkan di OUM Perak oleh Pengarah OUM Perak, Dr. Richard Ng.

Tabung ini bertujuan untuk mengutip derma bagi membantu rakyat Jepun yang ditimpa bencana tsunami dan gempabumi di Jepun pada 11 Mac 2011. Gempabumi berukuran 9.0 pada skala Richter telah dianggarkan mengorbankan kira-kira 23,000 orang.

Klip Video Tsunami Jepun:



Kelihatan rumah-rumah yang telah dihanyutkan tsunami di bandar Natori



Turut dihanyutkan adalah kenderaan di persisiran pantai Kamaishi

Ramai yang kehilangan tempat tinggal dan kerja akibat bencana tersebut. Mereka juga sedang mengalami satu lagi krisis kebocoran bahan radioktif dari Stesen Janakuasa Nuklear Fukushima.

Perlancaran Tabung Derma Mangsa Tsunami dan Gempabumi Jepun oleh Pengarah OUM Perak

Semasa perlancaran tabung tersebut, Pengarah OUM Perak mengingatkan para pelajar sekalian supaya menunjukkan sikap keprihatinan kita bagi membantu sesama manusia pada ketika yang amat memerlukan. Beliau menyeru semua pelajar OUM Perak untuk menghulurkan sebarang bantuan yang mampu bagi meringankan beban mangsa tsunami dan gempabumi.



Kesan tsunami di pelabuhan Miyagi

Wang yang dipungut akan dihantar ke OUM Pusat bagi proses penghantaran ke Jepun.

Sunday, April 3, 2011

Kebajikan Pelajar Keutamaan OUM Perak - Part 2

Petang semalam 2 April 2011, selepas tamatnya Bengkel Penyediaan Tugasan, Pengarah OUM Perak, Dr Richard Ng bersama Puan Murni dan Sdra Sharizal melaksanakan satu lagi tanggungjawab iaitu menyerahkan cek sumbangan kebajikan dari OUM Perak.

Pengarah OUM Perak, Dr Richard Ng, sedang memerhatikan kad matrik Allahyarham Kamarul sambil diperhatikan adiknya

Kali ini destinasinya ialah Taman Song Choon, Ipoh, Perak yang terletak kira-kira 5km dari Pusat Pembelajaran Perak. Ini berikutan kematian salah seorang pelajar OUM Petaling Jaya pada bulan November 201o akibat penyakit kanser kerongkong.

Kad matrik Allahyarham

Adik kepada Allahyarham menceritakan bagaimana abangnya terpaksa mengharungi detik terakhirnya melawan penyakit kanser.

Allahyarham Kamarul Hisma Mohd Taib berusia 33 tahun adalah pelajar tahun akhir program BITM dan sepatutnya telah tamat pengajiannya. Malangnya hajatnya tidak kesampaian akibat tekanan kerja dan penyakit yang dialaminya.

Kata adik Allahyarham yang juga bernama Kamarul, Allahyarham sentiasa kelihatan ceria dan tidak menceritakan masalah mahupun penyakit yang dialaminya. Allahyarham pada peringkat awalnya merasa sakit pada tekak dan diberi ubat sakit tekak. Bila keadaannya menjadi serius, satu imbasan dijalankan dan kemudian baru mengetahui beliau mengalami penyakit kanser tetapi malangnya telah terlambat.

Penyerahan cek kepada ibu Allahyarham (kanan) oleh Pengarah OUM Perak, Dr Richard Ng, sambil diperhati Puan Murni (kiri)

Allahyarham telah mengalami banyak penderitaan kerana terpaksa menjalani rawatan terapi radio dan kimo. Beliau mengalami sesak nafas dan menghembus terakhirnya pada bulan November sebelum Hari Raya Aidil Adha.

Cek disampaikan kepada warisnya iaitu ibu kepada Allahyarham. Semoga sumbangan dari OUM dapat sedikit sebanyak meringankan beban keluarga Allahyarham.

Friday, April 1, 2011

Kebajikan Pelajar Keutamaan OUM Perak

Dr Richard Ng, pengarah OUM Perak sedang menunjukkan sijil Allahyarham Termizi kepada isterinya Puan Khuzaimah sambil diperhatikan oleh Puan Zura, Pentadbir OUM Perak

Pada tanggal 31 Mac 2011, sebaik sahaja menerima cek sumbangan dari OUM pusat serta sijil Ijazah Sarjana Muda Pengajaran buat keluarga Allahyarham Termizi Mohamed Tahir, pelajar SMP kohort 2 dari OUM Perak, Puan Zura, Sdra Sharizal dan Dr Richard Ng, Pengarah OUM Perak terus bertolak ke Sungkai.

Ijazah Sarjana Muda yang pasti menjadi kebanggaan keluaga Allahyarham

Perjalanan sejauh 100km itu dalam keadaan cuaca yang amat baik itu akhirnya membawa kami ke Sekolah Kebangsaan Seri Besout di Felda Besout, Sungkai, Perak. Kami bertolak pada jam 10.45pg dan sampai di perkarangan sekolah pada jam 12.15tgh.

Penyerahan cek dan sijil kepada Puan Khuzaimah

Di situ kami berjumpa terus dengan isteri Allahyarham iaitu Puan Khuzaimah yang memang sedang menanti kedatangan kami. Kami dibawa ke bilik guru besar bagi membolehkan penyerahan cek serta sijil dijalankan.

Puan Khuzaimah menerima cek serta sijil dari Pengarah OUM Perak dalam keadaan penuh kepiluan kerana masih mengenangkan arwah yang telah pergi ketika tidor. Kata Puan Khuzaimah, arwah Termizi sebelum ini tidak menunjukkan sebarang tanda sakit dan memang sentiasa dalam keadaan sihat. Dengan air mata yang berlenangan, Puan Khuzaimah menceritakan bahawa arwah Termizi yang juga seorang guru besar di sebuah sekolah berhampiran memang menantikan konvonya pada bulan November yang lepas. Malangnya hajatnya tak kesampaian.

Sekolah Kebangsaan Seri Besout

Puan Khuzaimah amat berterima kasih pada pihak OUM atas sumbangan yang diberikan di mana ianya dapat membantu 4 orang anaknya yang sedang bersekolah. Anak sulongnya yang berumur 20 tahun kini sedang menuntut di sebuah kolej di Kelantan. Anak bongsunya yang berumur 10 tahun kini bersekolah di Felda Besout dalam darjah empat.

Sebelum bertolak, Pengarah menasihatkan agar Puan Khuzaimah tabah menghadapi segala cabaran dan dugaan dan semoga sumbangan OUM dapat membantu keluarganya sedikit sebanyak. Beliau juga berharap agar sijil Allahyarham dapat dijadikan sebagai dorongan untuk anak-anaknya untuk terus berjaya.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang soleh.

Sunday, January 24, 2010

Sumbangan Kebajikan untuk keluarga pelajar OUM

23 Januari 2010 Posted by Richard Ng

Tepat jam 3 ptg, saya dan Puan Murni serta Sharizal bertolak dari OUM Perak menuju ke Taiping Perak untuk mencari dua buah rumah keluarga pelajar OUM yang telah meninggal dunia pada tahun lepas bagi menyerahkan sumbangan kebajikan OUM.

Allahyarham Mohd Jafni berdiri di tengah bersama ibubapa dan kakaknya

Kami tiba di Kampung Boyan, Taiping, kira-kira jam 4.00ptg untuk mencari rumah keluarga Allahyarham Mohd Jafni Bin Zulkhifli. Setiba kami di rumahnya, kami disambut oleh ayahnya iaitu En. Zulkhifli yang menceritakan kisah bagaimana Allahyarham meninggal dunia. Kata En.Zulkhifli, Allahyarham mengalami kemalangan di lebuh raya utara-selatan berdekatan Tangkak Johor pada tahun lepas.

Penyampaian cek sumbangan OUM kepada En. Zulkhifli, bapa kepada Allahyarham Mohd Jafni

Allahyarham Mohd Jafni adalah pelajar program Ijazah Sarjana Muda Keguruan bertempat di Institut Perguruan Ilmu Khas. Dengan sumbangan yang kami sampaikan bagi pihak OUM, kami harap dapat sedikit sebanyak membantu keluarga Allahyarham.

Kira-kira jam 4.30ptg, kamipun pergi ke Kampung Dew, di Taiping untuk mencari sebuah lagi rumah keluarga Allahyarhamah Zariena Binti Abdul Ghani, iaitu pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan pengkhususan Matematik. Kami disambut oleh suami Allahyarhamah iaitu En. Azmi, serta tiga orang anaknya yang masih kecil.

Gambar Allahyarhamah Zariena bersama keluarganya

Pengarah OUM Perak, Richard Ng, sedang menjelaskan sumbangan kebajikan OUM kepada suami Allahyarhamah

Gambar bersama suami dan anak-anak Allahyarhamah Zariena

Kata En. Azmi, Allahyarhamah meninggal dunia pada bulan Oktober lepas dan tidak sempat untuk menghadiri Majlis Konvokesyen ke 7 OUM. Dalam keadaan tersebak, En Azmi menceritakan bagaiman Allahyarhamah mengharungi penderitaan akibat diserang penyakit barah sejak beberapa bulan sebelumnya. Cek sumbangan kebajikan OUM kami serahkan kepada keluarga Allahyarhamah dengan harapan semoga dapat membantu kebajikan anak-anaknya yang masih kecil.

Selepas itu kamipun bertolak ke Beruas untuk mencari rumah keluarga Allahyarham Safizan Bin Samsuddin, pelajar program Ijazah Sarjan Muda Pentadbiran Perniagaan. Kami tiba di rumah keluarga Allahyarham kira-kira jam 6.00ptg. Kami disambut oleh bapa mertuanya serta isterinya iaitu Puan Siti Salmiah.

Gambar bersama bapa mertua dan anak tunggal Allahyarham Safizan

Dengan nada yang sedih serta berlinangan air mata, bapa mertuanya menceritakan bahawa Allahyarham meninggal dunia akibat terjatuh dari sampan ke dalam sungai yang deras di Slim River ketika menjalani aktiviti riadah anjuran syarikatnya. Cek sumbangan kami serahkan kepada isteri Allahyarham.

Isteri Allahyarham Safizan sedang menceritakan bagaimana suaminya mengalami kemalangan

Gambar Allahyarham Safizan sebelum kejadian kemalangan berlaku

Selepas selesai tugas dan tanggungjawab kami, kami bertolak dari Beruas kira-kira jam 6.40ptg dan tiba di OUM Perak pada jam 7.30ptg disambut oleh hujan lebat dan banjir.

Apapun, kami bertiga amat berpuas hati dengan apa yang telah kami lakukan pada hari ini demi untuk kebajikan keluarga pelajar-pelajr kami. Sesungguhnya cek sumbangan dari OUM adalah tanda bahawa OUM prihatin pada pelajar-pelajarnya.