Monday, August 17, 2009

5 juta rakyat Malaysia diunjurkan akan mengidap selsema H1N1 - Utusan Malaysia


Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Seri Liow Tiong Lai berkata, WHO menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika orang ramai tidak mengambil serius langkah pencegahan bagi menghalang penularan virus itu.

Statistik itu berdasarkan kajian terperinci WHO mengenai kesan penularan luar biasa H1N1 terhadap sesebuah negara jika ancaman virus tersebut tidak ditangani secara berkesan dan menyeluruh.

Tiong Lai berkata, buat masa sekarang, Kementerian Kesihatan akan memfokuskan kepada aspek pencegahan dan rawatan khususnya terhadap pesakit-pesakit H1N1 yang terdiri daripada golongan berisiko tinggi.

“Kita akan terus mempergiatkan usaha menghebahkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan H1N1 di media massa seperti mengadakan sesi forum dengan orang ramai bagi meningkatkan tahap pengetahuan serta kesedaran mereka,” ujar beliau.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan mahu mengambil langkah yang praktikal dalam mencegah penularan wabak H1N1 di negara ini termasuk meminta orang ramai memberi kerjasama bersepadu kepada kerajaan dalam perkara tersebut.

“Saya yakin keadaan akan bertambah pulih sekiranya orang ramai mempunyai tanggungjawab yang tinggi dan tidak memandang remeh penularan wabak H1N1,” jelas beliau.

Beliau seterusnya menegaskan, individu-individu yang mempunyai gejala penyakit serupa influenza (ILI) seperti demam panas, selesema dan batuk perlu segera mendapatkan rawatan di hospital demi kesihatan diri.

“Mereka juga perlu prihatin dengan keselamatan orang lain dengan tidak menghadiri majlis-majlis terbuka dan berehat di rumah supaya virus penyakit tidak menjangkiti individu yang tidak berkenaan,” katanya.

No comments: