Thursday, July 28, 2011

OUM sasar 130,000 penuntut tahun 2015 - Utusan Malaysia

Oleh HAMDAN TAWADI
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin memahat batu sebagai simbolik perasmian Bangunan Pusat Pembelajaran OUM di Batu Pahat, baru-baru ini.

BATU PAHAT 26 Julai - Universiti Terbuka Malaysia (OUM) menyasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 130,000 penuntut menjelang 2015.

Presiden dan Naib Canselornya, Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali berkata, hingga kini lebih 100,000 orang memasuki universiti itu dengan jumlah lulusan yang berjaya dilahirkan melebihi 32,000 orang.

"Sambutan baik daripada masyarakat menunjukkan OUM adalah antara pilihan utama golongan yang ingin belajar sambil bekerja.



"OUM juga telah membelanjakan hampir RM100 juta untuk membeli dan mengubah suai pusat-pusat pembelajaran di seluruh negara bagi kemudahan para penuntutnya," katanya pada Majlis Perasmian Bangunan Pusat Pembelajaran OUM di sini baru-baru ini.

Perasmian Bangunan Pusat Pembelajaran OUM itu disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Anuwar berkata, pusat pembelajaran OUM di daerah itu memenangi anugerah reka bentuk terbaik daripada Pertubuhan Arkitek Malaysia pada 2007 dan ia adalah antara 18 pusat pembelajaran yang beroperasi di bangunan milik OUM.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, langkah OUM menyediakan infrastruktur dan program akademik berkualiti amat bertepatan bagi membolehkan universiti itu memberi khidmat terbaik kepada penuntutnya.

"Hakikatnya, dengan adanya bangunan sendiri, OUM boleh mempertingkatkan lagi usaha dalam menyediakan program-program berkualiti kepada rakyat," katanya.

No comments: