Tuesday, March 27, 2012

LAPORAN BENGKEL PENYEDIAAN TUGASAN OUM PERAK

Disediakan oleh Rosnizawati





Pada 15 & 16 Mac 2012 yang lalu, PP Perak telah mengadakan Bengkel Penyediaan Tugasan. Bengkel tersebut diadakan untuk pelajar SMP-PPG semester pertama ambilan khas Jan 2012 dan telah mendapat sambutan hangat daripada pelajar-pelajar tersebut. Oleh itu, bengkel yang sepatutnya dijalankan sehari sahaja terpaksa dijalankan 2 hari. Seramai 90 orang pelajar telah menghadiri bengkel pada 15 Mac 2012 manakala pada 16 Mac 2012, seramai 93 orang pelajar telah hadir.





Seperti bengkel-bengkel sebelum ini, bengkel ini telah dikendalikan oleh Pengarah PP Perak iaitu Dr Richard Ng. Bengkel ini telah diadakan secara intensif dari pukul 8.30 pagi hingga 1.00 petang bertempat di PP Perak.

Bengkel tersebut diadakan bagi membimbing pelajar-pelajar akan kaedah penyediaan tugasan yang betul, tepat, padat dan mutakhir. Para peserta telah didedahkan kepada ciri-ciri tugasan yang baik serta cara untuk menyediakan tugasan. Mereka juga telah didedahkan dengan langkah-langkah penyediaan tugasan yang betul. Para peserta juga telah ditunjukajar bagaimana untuk mencari bahan tugasan dari perpustakaan digital yang disediakan OUM serta menilai bahan tugasan dari segi kualiti dan kesesuaiannya.





Bengkel ini mengandungi 5 modul iaitu:

Modul 1 - Ciri-ciri tugasan yang baik
Modul 2 - Langkah-langkah penyediaan tugasan yang baik
Modul 3 - Cara mencari bahan tugasan
Modul 4 - Memahami Sistem rujukan APA dan plagiarisma
Modul 5 - Kaedah penyediaan tugasan





Pada akhir bengkel, para peserta telah ditunjukkan 2 sampel iaitu Sampel A (Tugasan yang baik) dan Sampel B (Tugasan yang kurang baik) supaya dapat di contohi dan dipelajari semasa penyediaan tugasan mereka. Selain itu, dalam bengkel tersebut juga, soalan tugasan bagi ketiga-tiga subjek yang diambil oleh pelajar-pelajat tersebut iaitu HBEF2103, HBEF3103 dan OUMH1103 turut dibincangkan bersama.

No comments: