Friday, May 11, 2012

LAPORAN BENGKEL PEPERIKSAAN OUMH1103 @ PP PERAK

Posted by Puan Rosnizawati LAPORAN BENGKEL PEPERIKSAAN OUMH1103 @ PP PERAK Tempat: Dewan A & B, PP Perak & Dewan A, PP Greenhill. Tarikh: 6 Mei 2012 Masa: 9.00 pagi – 1.00 tgh
Pelajar-pelajar SMP Ambilan Khas Jan 2012 amat bertuah kerana PP Perak telah menganjurkan satu lagi bengkel untuk mereka. Bengkel yang dimaksudkan ialah Bengkel Peperiksaan bagi subjek OUMH1103, Learning Skill for Open & Distance Leraners. Bengkel ini adalah untuk membantu para pelajar berjinak-jinak dengan soalan peperiksaan disamping berkongsi tips-tips yang berguna dari tutor.
Memandangkan sebilangan besar pelajar SMP Ambilan Khas Jan 2012 ingin mengikuti bengkel tersebut, PP Perak telah mengambil inisiatif untuk mengadakan bengkel tersebut dalam 3 dewan iaitu Dewan A dan B di PP Perak dan satu lagi di Dewan A, PP Greenhill. Ini telah terbukti apabila seramai 301 pelajar SMP telah mendaftarkan diri untuk hadir ke bengkel tersebut.
Bengkel ini telah dikendalikan oleh tutor-tutor yang berpengalaman iaitu En Muhamad Yusni (Dewan A, PP Perak) dan En Koay Soon Yuan (Dewan B, PP Perak) serta Pengarah PP Perak sendiri iaitu Dr Richard Ng (Dewan A, PP Greenhill). Bengkel tersebut bermula jam 9.00 pagi dan berakhir tepat jam 12.00 tengahari.
Dalam bengkel ini, pelajar telah didedahkan dengan topik-topik serta perkara yang perlu diberi fokus semasa peperiksaan yang bakal diadakan pada 13 Mei 2012 jam 9.00 pagi hingga 11.40 petang. Sesi ini juga bertindak sebagai sesi ulangkaji bagi membantu pelajar mengingati apa yang mereka telah pelajari.
Pelajar telah didedahkan dengan soalan-soalan peperiksaan semester lepas dan contoh jawapan juga telah disediakan bagi memudahkan pelajar memahami teknik menjawab soalan semasa peperiksaan nanti.
Bengkel ini telah banyak membantu pelajar OUM terutama pelajar baru bagi menghadapi peperiksaan dengan penuh yakin. Pihak OUM Perak amat prihatin dengan keperluan pelajar dan sentiasa berikhtiar untuk mengadakan bengkel seperti ini pada setiap semester. Hasil kaji selidik menunjukkan bahawa pelajar yang mengikuti bengkel mempunyai peratusan kelulusan yang tinggi berbanding dengan pelajar yang tidak hadir. Semoga pelajar-pelajar yang telah menghadiri bengkel pada kali ini juga akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan mereka nanti.

No comments: