DR. Mahathir Mohamad merasmikan E-Pembelajaran Inovasi sambil diperhatikan Anuwar Ali (kanan) dan Pro Canselor OUM, Tan Sri Azman Hashim pada majlis syarahan kesan teknologi pada masa hadapan untuk pendidikan tinggi di Hotel Seri Pasifik, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Institusi pendidikan tinggi disaran supaya terus aktif mencipta dan menggunakan teknologi terbaru bagi mengembangkan lagi ilmu dan seterusnya meningkatkan taraf pendidikan negara.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini kerana pelbagai teknologi canggih termasuk dunia Internet berkembang pantas pada hari ini dan ia menjadi faktor penting kepada kecemerlangan sesebuah negara.
"Kita perlu membina sistem atau cara untuk membolehkan ilmu pengetahuan diperoleh dengan efektif melalui perkembangan teknologi. Ini peluang baik kerana amat jelas teknologi amat penting untuk kita pada hari ini.
"Contoh jelas yang sudah berlaku ialah dengan menggunakan Internet kita boleh melanjutkan pelajaran ke universiti tanpa perlu menghadiri kuliah. Dengan menggunakan komputer sahaja kita mampu untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang lengkap," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Syarahan Umum bertajuk 'Impak Teknologi Kepada Masa Depan Pendidikan Tinggi' anjuran Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor OUM, Tan Sri Anuwar Ali.
Menyentuh mengenai bahasa, Dr. Mahathir berkata, teknologi canggih yang wujud pada hari ini juga memerlukan masyarakat untuk lebih mahir dalam menggunakan bahasa Inggeris memandangkan ia menjadi bahasa utama di dunia pada hari ini.
"Menggunakan bahasa Inggeris untuk maju tidak bermakna kita tidak patriotik terhadap bahasa ibunda kita sendiri.
"Sebaliknya, untuk mencapai kejayaan dan maju, kita perlu belajar dan mahir menggunakan bahasa Inggeris kerana begitu banyak teknologi berkembang pesat melalui bahasa itu. Dengan cara itu kita menjadi lebih patriotik kerana berusaha membangunkan negara ini," katanya.
Katanya, disebabkan itu, beliau sendiri ketika menjadi Perdana Menteri telah membuat keputusan supaya mata pelajaran Sains dan Matematik diajar di dalam bahasa Inggeris.
"Kenapa ia begitu penting? Ia kerana setiap minit perkara baru akan terhasil di dalam dunia sains dan matematik dan ia berlaku bukanlah di dalam bahasa ibunda kita tetapi melalui bahasa Inggeris.
"Saya sudah pergi ke merata tempat di seluruh dunia dan ramai yang berkata jika kita tidak tahu bahasa Inggeris kita akan menghadapi masalah terutama dalam pendidikan," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment