Sunday, November 21, 2010

Allahyarham Abdullah terima ijazah kehormat OUM - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 20 Nov 2010

Universiti Terbuka Malaysia (OUM) hari ini menganugerahkan Ijazah Kehormat (Posthumous) Doktor Pengurusan kepada pengasasnya Allahyarham Tan Sri Abdullah Sanusi Ahmad sempena Istiadat Konvokesyen Kesembilan universiti itu yang bermula hari ini.

BALU Abdullah, Puan Sri Hashimah Ismail semasa istiadat konvokesyen kesembilan Universiti Terbuka Malaysia di Kuala Lumpur, semalam

Pengiktirafan itu diberikan kerana kecemerlangan Allahyarham dalam kerjayanya yang meliputi sektor perkhidmatan awam dan swasta serta dalam lapangan pendidikan tinggi.

Canselor OUM Tun Jeanne Abdullah menyampaikan anugerah itu kepada balu Allahyarham, Puan Sri Hashimah Ismail pada majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.

Sejak dilantik sebagai Naib Canselor pada April 2001, Allahyarham Abdullah telah memimpin OUM sehingga dikenali sebagai perintis institusi pendidikan jarak jauh dan terbuka di Malaysia.

Usaha Allahyarham mendemokrasikan pendidikan tinggi telah membolehkan semua golongan masyarakat mengikuti pengajian di universiti itu tanpa mengira usia, jantina, lokasi geografi serta kelulusan sebelumnya.

Allahyarham merupakan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) dari tahun 1994 hingga 2000.

Semasa hayatnya, Allahyarham diiktiraf sebagai pembina institusi dan perintis kepada penubuhan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Allahyarham meninggal dunia pada 29 November 2003 ketika berusia 67 tahun, meninggalkan Hashimah dan empat orang putera. Sementara itu, istiadat hari ini turut menyaksikan seorang guru Low Suan Hua yang merupakan graduan Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Rendah), menerima Anugerah Canselor hasil pencapaian cemerlang beliau sepanjang pengajian.

No comments: