Seramai 120 orang graduan, ahli alumni OUM, pelajar, tutor dan staf OUM Perak telah hadir di Hotel Excelsior Ipoh pada 13 November bagi meraikan kejayaan pelajar OUM Perak yang telah berkonvo pada konvo ke 7 dan ke 8 pada bulan Mac dan Jun serta pelajar yang akan berkonvo pada 20 hingga 23 November 2010.
Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Prof. Dr. Ahmad Hashem, Ketua Pegawai Teknologi merangkap ahli Group Management Committee OUM serta Sdra Hashim Bin Abdul Karim, Presiden Persatuan Alumni OUM Malaysia.
Dalam ucapannya, Pengarah OUM Perak, Dr. Richard Ng, mengucapkan syabas atas kejayaan pelajar yang telah mengharungi segala cabaran dalam pengajian mereka selama 2 hingga 5 tahun. Beliau menasihatkan pelajar agar tidak menjadi bongkak atas kejayaan mereka tetapi menjadi manusia yang berguna untuk diri, keluarga, organisasi serta masyarakat.
Kata beliau lagi, seramai 320 orang pelajar OUM Perak telah tamat pengajian mereka dengan jayanya sepanjang tahun 2010 ini. Tahun ini menyaksikan kumpulan pertama pelajar jurusan Bachelor of Nursing dari OUM Perak seramai 20 orang mendapat ijazah masing-masing pada konvo OUM ke 9. 2 orang pelajar pertama jurusan perakaunan turut menerima ijazah mereka pada konvo yang sama.
Beliau juga mengumumkan nama 5 orang pelajar cemerlang OUM Perak yang hadir pada majlis ini iaitu:
a. Cheong Pak Seng – BIT
b. Khoo Kay Keat – BIT
c. Mohd Yunus Mohd Yusuf – BAC
d. Siti Zaleha Abdul Ghani – BAC
e. Lok Wai Foong – Med
Beliau juga menyatakan bahawa OUM Perak sentiasa prihatin terhadap kehendak pelajar dan menyeru semua graduan dan pelajar yang hadir supaya sentiasa memberi maklum balas padanya kiranya terdapat sebarang kelemahan dalam perkhidmatan kepada pelajar agar perkhidmatan yang lebih baik dapat disediakan.
Klip video persembahan dari Staf OUM Perak:
Sdra Hashim Abdul Karim turut mengucapkan tahniah kepada graduan OUM Perak dan menasihatkan mereka supaya memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan alumni OUM Perak.
Prof. Dr. Ahmad Hashem dalam ucapannya mengirimkan salam Tan Sri Presiden OUM yang tidak dapat hadir bersama kerana menghadiri majlis seperti ini di tempat lain. Beliau juga turut menyentuh tentang perubahan dalam teknologi penyampaian pembelajaran yang kerap dilakukan bagi menambahbaik sistem yang sedia ada. Perubahan ini perlu bagi membolehkan OUM mengorak langkah ke hadapan demi untuk kebaikan pelajar OUM.
Majlis ini juga menyaksikan persembahan dua buah lagu dari staf OUM Perak untuk para graduan iaitu lagu Cliff Richard "Congratulations" dan lagu Sudirman Hj Arshad "Hoor Hoore". Cabutan bertuah serta pertandingan karaoke turut diadakan bagi menyerikan majlis.
Majlis yang bermula pada jam 7.30mlm tamat pada jam 10.30mlm. Kesemua peserta yang hadir menyatakan puas hati dan kegembiraan majlis pada malam ini. Syabas kepada semua AJK Persatuan Pelajar dan Staf OUM Perak yang telah mengendalikan majlis ini dengan jayanya.
No comments:
Post a Comment