Tanggal 28 Februari 2009 merupakan satu detik manis dalam sejarah OUM Perak kerana dapat bersua muka dengan YBhg Tan Sri Dr. Anuwar Ali (Presiden/Naib Canselor OUM), Prof. Dr. Mansor Fadzil (Naib Presiden Kanan), Prof. Dr. Latifah Abdol Latif (Pengarah Pusat Pengurusan Pelajar), Prof. Madya Dr. Widad (Dekan, Fakulti Bahasa dan Pendidikan), Prof. Madya Dr. Santhi (Pengarah, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Tutor) serta Datin Halimatholhanin (Pengarah, CIDT) dalam satu majlis dialog bersama pelajar dan tutor.
YBhg Tan Sri serta rombongan tiba di OUM Perak di Jln Lim Bo Seng tepat pada jam 8.00pg walaupun majlis telah dijadualkan bermula pada jam 8.15pg. Sementara menanti majli dimulakan, YBhg Tan Sri dan Prof. Mansor sempat beramah mesra dengan para pelajar yang hadir awal.
Majlis dimulakan dengan lagu nyanyian Lagu Negaraku dan diikuti dengan Lagu OUM. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan aluan dari Pengarah OUM Perak, Richard Ng. Seterusnya tiba glilirian YBhg Tan Sri untuk memberi ucapan. Dalam ucapan beliau, YBhg Tan Sri telah menyentuh beberapa aspek mengenai pembelajaran secara ODL dan menyeru kepada pelajar supaya bekerja keras untuk berjaya dalam pelajaran mereka.
Beliau turut berkongsi dengan para pelajar mengenai budaya kerja di Jepun di mana beliau baru sahaja kembali ke tanahair selepas membuat lawatan ke universiti Saka Gakkai International di Jepun.
YBhg Tan Sri turut memberitahu pelajar bahawa OUM akan sentiasa memberi penekanan kepada perkhidmatan serta kemudahan kepada pelajar agar pelajar sentiasa selesa belajar di OUM.
Prof. Mansor turut memberi sedikit ucapan ringkas mengenai rancangan OUM untuk memperkenalkan ujian objektif bagi menggantikan tugasan serta menjadikan semester Mei sebagai semester bias di mana para pelajar dibenarkan mengambil 3 subjek. Ini bermakna jangkamasa tamat pembelajaran akan menjadi lebih pendek.
Pada jam 9.15pg para pelajar dan tutor telah dihidangkan dengan jamuan ringan.
YBhg Tan Sri dan Prof. Mansor turut mengadakan sesi dialog dengan tutor dari am 9.45pg hingga 10.30pg dan kemudian diikuti dengan sesi dialog dengan pelajar pasca ijazah.
Pada jam 11.15pg, kami pun bertolak ke PPT Greentown untuk sesi dialog dengan para pelajar di sana. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh salah seorang wakil pelajar iaitu saudara Norazhar Kassim. Ianya kemudian diikuti oleh ucapan YBhg Tan Sri. Sesi dialog ini tamat pada jam 12.15pg.
YBhg Tan Sri serta rombongan kemudian telah diraikan dalam satu majlis makan tengahari bersama staf OUM Perak. Berbagai hidangan masakan Perak seperti tempoyak, ikan keli goreng tumis, ayam goreng, gulai tempoyak ikan patin serta ulam telah disediakan.
Selepas makan tengahari, kami pun bertolak ke satu lagi pusat pembelajaran tempatan iaitu Institut Perguruan Ipoh yang terletak di Ulu Kinta. Pada jam 2.00ptg, kami pun tiba di situ untuk berjumpa dengan pelajar-pelajar program SMP. YBhg Tan Sri dan Prof. Mansor turut memberi ucapan kepada pelajar dan tutor dan menasihati pelajar supaya bekerja keras untuk berjaya dalam pembelajaran mereka.
Pada jam 2.45ptg kami pun bertolak semula ke OUM Perak di Jln Lim Bo Seng. Sebelum bertolak kembali ke Kuala Lumpur, YBhg Tan Sri mengucapkan terima kasih kepada semua staf OUM Perak dan memberi pesan supaya sentiasa menjaga pelajar-pelaja kita dengan baik.
Sesungguhnya lawatan YBhg Tan Sri serta rombongan telah dapat menjalinkan hubungan silaturahim dengan para pelajar dan tutor serta staf OUM Perak. Para pelajar dan Tutor yang hadir amat bertuah kerana jarang sekali mendapat peluang untuk mengenali dengan lebih rapat lagi pihak pengurusan tertinggi OUM.
Bagi pihak seluruh warga OUM Perak, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada YBhg Tan Sri serta rombongan, semua pelajar dan tutor serta staf OUM Perak kerana telah sama-sama menjayakan majlis ini.
No comments:
Post a Comment