Hari ini merupakan hari ketiga dan terakhir kami di Pulau Pangkor. Hujan telah turun sejak tengah malam lagi sehingga pagi ini seolah-olah menyatakan rasa sedihnya dengan kepulangan kami.
Keadaan yang sejuk ini menyebabkan ramai di antara kami yang bangun lewat sehingga chef-de-mission kami Puan Ros terpaksa mengetuk dari pintu ke pintu pada jam 8 pagi bagi mengejutkan mereka untuk sarapan pagi yang telah terhindang.
Memandangkan hari ini adalah hari terakhir maka aktiviti pada pagi ini merupakan aktiviti "free and easy". Malangnya hujan yang masih renyai menyebabkan kami terpaksalah tinggal di chalet. Selepas sarapan pagi hujan pun mula reda dan kira-kira pada jam 9.30 pagi, Pengurus Pembangunan Perniagaan Purnama Beach Resort iaitu Sdra Harun dengan murah hati telah membawa kami ke Jeti Pangkor untuk membeli ikan yang dijangka dibawa naik oleh nelayan di pantai.
Sampai sahaja di sana, kami telah diperkenalkan kepada Mrs. Beh, tuan punya syarikat yang menjual ikan satay, ikan bilis dan lain-lain hasil tangkapan laut. Mrs Beh juga adalah tuan punya syarikat Pemborong dan Penangkapan hasil laut terbesar Pangkor iaitu syarikat Kheng Hai Chuan atau ringkasnya KHC.
Mrs. Beh membawa kami untuk melihat bot besar mereka yang dilengkapi dengan sistem GPS dan lain-lain peralatan penangkapan ikan yang canggih. Mrs Bh juga menunjukkan pada kami cara mereka menangkap dan memproses ikan bilis secara besar-besaran. Sdra Harun yang merupakan kawan rapat syarikat ini membawa kami melihat dengan lebih dekat lagi bot penangkapan ikan. Malangnya pada pagi itu, laut amat bergelora dengan hujan dan angin kencang. Jadi bot tidak keluar ke laut untuk menangkap ikan.
Apapun dari cerita Sdra Harun dan Mrs. Beh, dapat kita faham bagaimana nelayan mencari pendapatan yang lumayan. Sebelum pulang, kami sempat membeli sedikit ikan bilis dan satay ikan sebagai tambahan stok kami. Nampaknya makan ikan bilis le sepanjang minggu depan.
Dalam perjalanan pulang ke chalet, Sdra Harun sempat menunjukkan pada kami pantai-pantai lain seperti pantai pasir bogak serta Pangkor Laut dan selat dinding. Kira-kira jam 10.45 pagi kami pun tiba di chalet. Apa lagi, masih sempat lagi kami berjalan di pantai Teluk Nipah. Malangnya, ombak begitu kuat sekali sehingga mencecah 10 hingga 15 kaki tinggi bila memukul pantai. Bilangan pengunjung telah berkurangan kerana ramai yang telah balik ke pekan masing-masing.
Kira-kira jam 12.30 tgh, kami pun dihidangkan dengan makan tengahari. Sudah tentu lauk yang istimewa ialah gulai ikan yu yang kami tangkap semalam. Kami juga telah dihidangkan dengan ikan nyonyok masam asam pedas dan kacang bean.
Selepas makan kami pun mengemas barang-barang kami dan bertolak dari chalet ke Jeti Pangkor pada jam 2.00ptg. 3 hari rasanya begitu pantas sekali berlalu. Apapun, banyak kenangan manis yang telah kami perolehi semasa di Teluk Nipah ini.
Pada jam 2.30ptg kami pun tiba di Jeti dan sebuah feri telah tersedia menanti ketibaan kami. Tepat jam 3ptg, feri pun bertolak. Kami tiba di Jeti Lumut kira-kira jam 4ptg. Dalam keadaan letih, kami mengucapkan selamat pulang dan selamat jalan kepada semua rakan-rakan seperjuangan. Maka tamatlah suatu sesi riadah yang tak dapat kami lupakan.
No comments:
Post a Comment