
Peristiwa yang paling manis sekali ilah lawatan YBhg Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali, Presiden and Naib Canselor Open University ke Perak pada 28 Februari 2009. Lawatan Tan Sri membawa rahmat kepada kami kerana hasil dari lawatan ini YBhg Tan Sri telah berkenan meluluskan pembelian bangunan kedua buat OUM Perak bagi menempatkan pelajar PPT Greentown.
Bangunan baru ini yang bertempat di Persiaran Greenhill berhampiran dengan Hotel Syuen telah dibeli dengan harga RM3.4 juta pada bulan Julai 2009. Kos pengubahsuaiannya ialah sebanyak RM1.8 juta dimana ia dilengkapi dengan segala kemudahan seperti kemudahan internet dan wifi serta dua buah makmal komputer baru.
Bangunan ini telah 98% siap dan akan dibuka pada 10 Januari 2010 bagi membolehkan menjalankan sesi taklimat dan pendaftaran pelajar baru ambilan semester Januari 2010. Pusat ini akan dikenali sebagai Pusat Pembelajaran Greenhill.
Tahun 2009 juga merupakan tahun di mana kali pertama kami adakan Majlis Makan Malam buat graduan OUM Perak. Seramai 180 orang graduan dan keluarga mereka telah hadir. Di antara graduan OUM Perak termasuk YB Dato' Hasbullah Osman, setiausaha politik YAB Timbalan PM Malaysia dan bekas ADUN Kerian, Mohd Salleh Mat Disa. Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli Exco Pendidikan Tinggi Perak, YB Zahir Bin Dato' Khalid.
Sambutan Deeparaya telah diadakan tahun ini bagi meraikan pelajar-pelajar OUM serta anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Baitul Ain, Simpang Pulai dan anak-anak dari Teresa Reading Shelter, Buntong. Pihak OUM juga telah menghulurkan sumbangan kepada kedua-dua organisasi ini hasil kutipan derma dari pelajar OUM serta sumbangan ikhlas OUM.

Aktiviti riadah yang sempat kami jalankan tahun ini ialah Sukan Bowling yang telah diadakan di Greentown Bowling Centre Ipoh di mana lebih dari 35 orang pelajar, tutor dan Staf OUM Perak telah mengambil bahagian.

Juga pada tahun 2009 adalah tahun perkahwinan antara staf kami Erna dan Alan. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki hingga ke cucut cicit.
Seperti tahun-tahun lepas pihak OUM Perak tidak ketinggalan dalam menganjurkan bengkel Matematik, bengkel peperiksaan serta bengkel kemahiran belajar bagi mencemerlangakn pelajar-pelajar OUM Perak.
OUM Perak juga telah mewujudkan blog Matematik Pengurusan iaitu http://bbmp-1103.blogspot.com di mana kelip video telah dimuatkan bagi membolehkan pelajar-pelajar yang mengambil subjek ini membuat ulangkaji. Blog ini telah mencatatkan bilangan hit tertinggi sehari sebelum peperiksaan iaitu menjangkaui 500.
Pihak OUM Perak juga telah menerima berita baik apabila program Ijazah Sarjana Muda Kejururwatan telah mendapat pengiktirafan penuh MQA.


Staf OUM Perak telah bekerja hampir setiap hujung minggu pada tahun 2008 bagi memberi perkhidmatan sokongan terbaik kepada semua pelajar serta tutor OUM Perak. Maka pada 1 Mei 2009, kami semua telah berpakat untuk mengadakan "retreat dan family day" di Pulau Pangkor selama 3 hari. Justeru, pada tiga hari inilah, pihak kami tidak menjawab sebarang panggilan telefon serta email daripada warga OUM.
Harapan kami untuk tahun 2010 adalah semoga kami dapat menambahbaik perkhidmatan kami kepada semua pelajar dan tutor OUM Perak agar pelajar-pelajar kami mencapai kejayaan yang cemerlang. Ini adalah azam tahun baru kami dan dengan kerjasama semua pelajar, tutor dan staf, kami akan dapat memberikan yang terbaik Insya Allah.
Bagi pihak semua staf OUM Perak, saya ucapkan "Selamat Tahun Baru 2010" kepada semua pelajar, tutor serta pembaca blog OUM Perak.
No comments:
Post a Comment