
Awal pagi Sabtu 24 Disember 2011, Prof. Dr. Mansor, Naib Presiden Kanan OUM bersama Dr. Richard Ng, Pengarah OUM Perak, Prof. Madya Ramli Buyong Kahar, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Bahasa dan Bahasa, Dr. Tina Lim, Penolong Pengarah OUM Perak serta dua orang staf OUM Perak Puan Murni dan Sdra Sharizal telah bersiap sedia bertolak ke rumah Allahyarham Cikgu Rusnaini Bt Hashim bagi memenuhi hajat terakhirnya.

Perjalanan kami yang bermula jam 8.45pg dari Ipoh disambut hujan renyai seolah-olah diselubungi suasana sayu dan pilu. Dalam minda kami terbayangkan betapa gembiranya arwah kiranya dapat menerima segulung ijazah hasil keringatnya selama 4 tahun belajar di Open University Malaysia. Allahyarham Rusnaini Bt Hashim adalah pelajar OUM dalam program Sarjana Muda Pengajaran.

Tepat jam 9.20 pagi rombongan kami dalam 3 buah kereta sampai di rumah arwah di Taman Raia, Kpg Kepayang yang terletak lebih kurang 12km dari Ipoh. Kami disambut oleh suami arwah iaitu Encik Affendi Bin Jamaluddin. Kami dijemput masuk ke ruang tamu. Di situ sedang menunggu kami ialah Ibu arwah serta 4 orang anaknya yang memang telah menjangka kedatangan kami.

Prof. Mansor memulakan perbualan dengan menyampaikan salam takziah dari Presiden OUM, YBhg Tan Sri Anuwar Ali yang baru sahaja pulang dari India. Kedatangan beliau ialah bagi memenuhi hajat terakhir arwah iaitu mendapat segolong ijazah yang telah lama diidamkannya. Prof. Mansor menasihatkan keluarga Allahyarham Rusnaini Hashim agar tabah menghadapi segala dugaan Ilahi.

Dalam perbualan kami dengan Ibu arwah, katanya, arwah Rusnaini Hashim memang teringin sangat untuk menghadiri Majlis Konvokesyen ke 11 yang sesinya telah dijadualkan pada hari Ahad 11 Disember 2011. Allahyarham Rusnaini Hashim memang seorang yang rajin belajar dan tekun dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang guru sehingga dianugerahkan Anugerah Khidmat Cemerlang pada tahun 2004.

Arwah sedang mengandung anak kelima dan doktor telah menetapkan tarikh kelahiran 4 hari selepas konvo. Kata ibunya lagi, arwah memang kelihatan sihat pada pagi Jumaat 9 Disember 2011 dan ingin ke klinik untuk membuat pemeriksaan bagi mendapat kepastian dari doktor sama ada beliau dapat pergi ke konvokesyen. Pagi itu arwah memang sedang menonton televisyen bersama keluarganya. Tidak ada sebarang tanda-tanda arwah tidak sihat.

Selepas suaminya selesai sembahyang Jumaat, suaminya menghantar arwah ke klinik. Pemeriksaan dokto menunjukkan arwah memang sihat dan mengesahkan arwah dapat menghadiri konvo. Tapi apakan daya, kuasa Ilahi, hajat arwah tidak kesampaian apabila arwah tiba-tiba tidak sedarkan diri di klinik dan terpaksa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh. Arwah disahkan meninggal dunia pada jam 2.30ptg bersama kandungannya.

Sebagai memenuhi hajat terakhir arwah Prof. Mansor mewakili OUM menyerahkan sijil Ijazah Sarjana Muda Pengajaran kepada suami arwah untuk dijadikan kenangan serta sebagai pendorong kepada 4 orang anaknya yang masih kecil. Prof. Mansor turut menyampaikan cek sumbangan dari OUM bagi meringankan beban keluarga arwah.
Selepas menjamu makanan dan minimum yang disediakan keluarga arwah, pihak kami bertolak balik ke Ipoh dan Prof Mansor bertolak ke KL pada jam 10pg.
Sebagai Pengarah OUM Perak saya amat bangga dengan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh pihak Pengurusan Tertinggi OUM pada pelajar kami. Semoga roh Allahyarham Rusnaini Hashim dicucuri rahmat.
1 comment:
Terima kasih di atas keprihatinan dan tindakan pihak OUM kepada keluarga allahyarhamah Cikgu Rusnaini. Kami rakan-rakan allahyarhamah amat gembira di atas keprihatinan tersebut.
Post a Comment