Tepat jam 3 ptg, saya dan Puan Murni serta Sharizal bertolak dari OUM Perak menuju ke Taiping Perak untuk mencari dua buah rumah keluarga pelajar OUM yang telah meninggal dunia pada tahun lepas bagi menyerahkan sumbangan kebajikan OUM.
Kami tiba di Kampung Boyan, Taiping, kira-kira jam 4.00ptg untuk mencari rumah keluarga Allahyarham Mohd Jafni Bin Zulkhifli. Setiba kami di rumahnya, kami disambut oleh ayahnya iaitu En. Zulkhifli yang menceritakan kisah bagaimana Allahyarham meninggal dunia. Kata En.Zulkhifli, Allahyarham mengalami kemalangan di lebuh raya utara-selatan berdekatan Tangkak Johor pada tahun lepas.
Allahyarham Mohd Jafni adalah pelajar program Ijazah Sarjana Muda Keguruan bertempat di Institut Perguruan Ilmu Khas. Dengan sumbangan yang kami sampaikan bagi pihak OUM, kami harap dapat sedikit sebanyak membantu keluarga Allahyarham.
Kira-kira jam 4.30ptg, kamipun pergi ke Kampung Dew, di Taiping untuk mencari sebuah lagi rumah keluarga Allahyarhamah Zariena Binti Abdul Ghani, iaitu pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan pengkhususan Matematik. Kami disambut oleh suami Allahyarhamah iaitu En. Azmi, serta tiga orang anaknya yang masih kecil.
Kata En. Azmi, Allahyarhamah meninggal dunia pada bulan Oktober lepas dan tidak sempat untuk menghadiri Majlis Konvokesyen ke 7 OUM. Dalam keadaan tersebak, En Azmi menceritakan bagaiman Allahyarhamah mengharungi penderitaan akibat diserang penyakit barah sejak beberapa bulan sebelumnya. Cek sumbangan kebajikan OUM kami serahkan kepada keluarga Allahyarhamah dengan harapan semoga dapat membantu kebajikan anak-anaknya yang masih kecil.
Selepas itu kamipun bertolak ke Beruas untuk mencari rumah keluarga Allahyarham Safizan Bin Samsuddin, pelajar program Ijazah Sarjan Muda Pentadbiran Perniagaan. Kami tiba di rumah keluarga Allahyarham kira-kira jam 6.00ptg. Kami disambut oleh bapa mertuanya serta isterinya iaitu Puan Siti Salmiah.
Dengan nada yang sedih serta berlinangan air mata, bapa mertuanya menceritakan bahawa Allahyarham meninggal dunia akibat terjatuh dari sampan ke dalam sungai yang deras di Slim River ketika menjalani aktiviti riadah anjuran syarikatnya. Cek sumbangan kami serahkan kepada isteri Allahyarham.
Selepas selesai tugas dan tanggungjawab kami, kami bertolak dari Beruas kira-kira jam 6.40ptg dan tiba di OUM Perak pada jam 7.30ptg disambut oleh hujan lebat dan banjir.
Apapun, kami bertiga amat berpuas hati dengan apa yang telah kami lakukan pada hari ini demi untuk kebajikan keluarga pelajar-pelajr kami. Sesungguhnya cek sumbangan dari OUM adalah tanda bahawa OUM prihatin pada pelajar-pelajarnya.
No comments:
Post a Comment