
Bengkel Kemahiran Belajar ini adalah satu bengkel separuh hari yang diwajibkan untuk semua pelajar baru kerana bengkel ini telah terbukti keberkesanannya dalam membimbing pelajar dan mendedahkan mereka kepada kaedah pembelajaran jarak jauh dan terbuka (Open and Distance Learning) ataupun ODL.

Dalam bengkel ini, pelajar akan diajar mengenai cara mengurus masa, disiplin diri, penentuan sasaran hidup, penggunaan Internet, serta penggunaan Sistem Pengurusan Pembelajaran (Learning Management System) atau myLMS.

myLMS membolehkan pelajar melihat profil mereka, sebarang pengumuman universiti, memuat-turun bahan pembelajaran seperti soalan peperiksaan tahun-tahun lepas serta menjalankan perbincangan atas talian. myLMS juga mengandungi koleksi digital di mana pelajar dapat membaca bahan-bahan pembelajaran seperti buku elektronik, journal elektronik serta majalah dan makalah.

Berdasarkan kepada hasil kaji selidik yang dijalankan oleh pihak OUM, pelajar yang terdedah kepada bengkel ini menunjukkan tahap kesediaan pembelajaran secara ODL yang tinggi.

Dalam bengkel yang dijalankan ini, dua orang tutor senior telah ditugaskan untuk membimbing pelajar iaitu Sdra Manmohan dan Sdra Koay. Seramai 54 orang pelajar telah hadir dan masih ada ramai pelajar yang tidak hadir akibat kerja dan urusan peribadi. Bengkel yang bermula pada jam 8.30pg tamat pada tepat jam 1.30ptg.
No comments:
Post a Comment