Tuesday, August 25, 2009

Kementerian cadang perkenal peraturan baru bagi pemegang ijazah - MStar

25 Ogos, 2009 Oleh RICHARD LIM

PETALING JAYA: Para pemegang ijazah tidak lama lagi mungkin akan diwajibkan untuk mendaftar kelayakan akademik mereka dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai langkah untuk mengawal negara ini daripada lambakan ijazah palsu, demikian kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini.



Menurut Khaled, langkah ini nampaknya perlu dilakukan sebelum ia menjadi satu masalah besar kepada negara.



“Oleh itu, kita sedang memikirkan akan keperluan untuk memperkenalkan akta baru yang akan mewajibkan semua pemegang ijazah mengemukakan transkrip kelulusan dan kelayakan mereka kepada pihak kementerian supaya kita dapat menyemak kesahihan institusi yang menganugerahkan ijazah,” katanya kepada The Star ketika dihubungi petang Isnin.

Khaled berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan khas The Star semalam yang mendedahkan betapa mudahnya orang-ramai memperolehi ijazah ekspres daripada beberapa institusi yang tidak diiktiraf dari United Kingdom dan Amerika Syarikat tanpa perlu menghadiri kuliah. Malah laporan tersebut juga mendedahkan terdapat juga VIP yang menggunakan jalan singkat ini untuk memperolehi ijazah bagi meningkatkan nilai pasaran mereka.

Menurut Khaled, perkara ini telahpun berada di dalam pemerhatian KPT dan akan ada beberapa pengumuman yang akan dibuat mengenainya tidak lama lagi. Kata Khaled adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk mengawasi akan kewujudan institusi-institusi palsu dan tidak diiktiraf ini dan membuat laporan kepada pihak kementerian jika mereka mempunyai maklumat mengenainya.

"Adalah jelas sekali ianya satu penipuan sekiranya seseorang itu dengan mudah boleh memperolehi ijazah tanpa perlu menghadiri kuliah sebaliknya hanya perlu membayar harga tertentu," katanya.

2 comments:

hamdan said...

Saya pernah ditawarkan 18k untuk buat MBA. Nasib baik pihak KWSP tidak meluluskan permohonan pembiayaan pelajaran. Syukur,dengan 18k juga, saya kini menghitung hari untuk hari konvokation OUM pada 14/11 - 18/11/2009.
Terima kasih OUM dan para tutors kerana memberi peluang kepada saya untuk berubah.

hamdan said...

Kini saya mengikuti kursus MBA dengan UITM Perak secara sambilan.
Kepada para pelajar, kuatkan semangat dan teruskan perjuangan untuk mencapai impian anda.