Monday, August 24, 2009

SAH: Guru SMK USJ12 korban A(H1N1) - MStar


PUTRAJAYA: Seorang guru wanita berusia 38 tahun daripada SMK USJ12 yang meninggal dunia pada 19 Ogos lalu menjadi korban terbaru virus H1N1 sekaligus menjadikan jumlah kematian akibat virus itu di negara ini meningkat kepada 69 orang, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya, mangsa sebelum itu telah mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 13 Ogos selepas demam dan batuk selama dua hari.

Menurut Liow, daripada ujian segera yang dijalankan, mangsa turut didapati positif Influenza A dan diberikan rawatan simptomatik tanpa melibatkan rawatan antiviral Tamiflu.

"Lima hari selepas menerima rawatan untuk Influenza A, pesakit mendapatkan rawatan di hospital swasta pada 20 Ogos selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dan 'cyanosis'.

"Mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan diberikan rawatan tamiflu, namun disahkan meninggal dunia pada 19 Ogos akibat pneumonia dan keputusan swab tekak pada 20 Ogos mengesahkan mangsa positif H1N1," katanya.

Liow juga berkata, 1,455 pesakit penyakit seperti influenza (ILI) sedang dirawat di 85 buah hospital, termasuk empat hospital swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, hanya 285 pesakit disahkan menghidap H1N1, dengan 39 daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk dua kemasukan baru.

"Daripada 39 kes itu, 33 kes melibatkan pesakit yang berisiko iaitu penyakit kronik, obesiti, diabetes, kanak-kanak/bayi, penyakit respiratori kronik, postnatal dan Sindrom Down," katanya.

No comments: